Amal kehidupan yang selamat
myMetro Online, 18 March 2014
BAGI meningkatkan lagi usaha dan tahap kesedaran keselamatan pekerjanya, syarikat pengeluar makanan, Mondelez International memperkenalkan Bulan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran kepada tenaga kerjanya di 80 negara.
Di Malaysia, Mondelez Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Kraft Foods Malaysia) memulakan program berkenaan akhir Januari lalu di seluruh negara termasuk di tiga kilangnya di Johor Bharu, Shah Alam dan Prai.
Pengarah Operasi Malaysia, Chris Bowyer berkata, program itu dijadikan platform untuk meningkatkan pembabitan pekerjanya supaya mengamalkan kehidupan yang selamat dan mampan sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.
Beliau berkata, syarikat berkenaan komited kepada kesejahteraan fizikal, mental dan sosial pekerja dalam semua litar pekerjaan.
Menurut Bowyer, pihaknya berusaha membendung isu membabitkan kesihatan berdasarkan persekitaran kerja dan menghapuskan risiko yang berkaitan. Program seumpama itu adakan secara berterusan bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada pekerja tempatan.
“Kumpulan Mondelez berusaha melindungi kesejahteraan insan sejagat dan alam sekitar dengan melaksanakan amalan sifar pembaziran bagi menjamin keselamatan serta kemampanan masa depan.
“Pihak syarikat sentiasa menggalakkan budaya sosial yang positif dalam kalangan pekerja di seluruh dunia. Ini kerana menjelang 2015, semua kilang pengeluaran Mondelez akan menerima persijilan keselamatan makanan pihak ketiga dan tumpuan akan terus diberikan untuk menambah baik prestasi keselamatan pekerja pada setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, sepanjang Februari lalu, pasukan Mondelez Malaysia turut menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan program itu di seluruh negara.
Antara aktiviti yang diadakan ialah latihan simulasi kebakaran, ceramah kesedaran mengenai pengurangan pembaziran dan penjimatan tenaga serta panduan kesedaran keselamatan di persekitaran tempat kerja.
Turut diadakan, Program Komuniti Rakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), program derma darah serta gerai pameran membabitkan aspek keselamatan pekerja.
Semua aktiviti itu diadakan bagi memperlihatkan cara hidup yang sihat, selamat dan mampan kepada tenaga kerja syarikat itu di negara ini.
Pegawai Keselamatan, Sekuriti dan Persekitaran Shah Alam, Malaysia Nahzirah Salha berkata, keselamatan adalah perkara yang paling penting daripada kesihatan dan persekitaran am.
Menurutnya, perkara paling ideal untuk dilakukan adalah memupuk ruang kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja.
“Semua usaha itu adalah untuk memastikan kesejahteraan semua pekerja dan ia menjadi perkara yang penting kepada syarikat” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Penyelenggaraan Shah Alam, Chai Kang Han pula berkata, pihak pengurusan akan memastikan keselamatan pekerja mereka sentiasa diutamakan.
Katanya, syarikat bukan hanya menjalankan proses keselamatan untuk produk yang dikeluarkan, malah turut memberikan perhatian kepada tenaga kerja bagi meningkatkan lagi produktiviti dan melancarkan operasi.