doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Pengedaran iklan jualan murah pembantu rumah Indonesia disiasat
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Pengedaran iklan jualan murah pembantu rumah Indonesia disiasat

Pengedaran iklan jualan murah pembantu rumah Indonesia disiasat

Berita Harian Online, 30 Oktober 2012

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja akan menyiasat segera pengedaran iklan bertajuk "Indonesian maids now on sale", kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya sebelum siasatan dibuat. "Buat masa ini, kita tak boleh komen apa-apa lagi kerana tak tahu setakat mana sebarannya, siapa yang menyebar, di mana, jadi kita kena siasat dulu," katanya selepas merasmikan Persidangan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Iklan yang dikatakan diedarkan di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur itu menjadi topik hangat di internet, selain turut disiarkan oleh media massa di Indonesia.

Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) turut mengecam keras penyebaran iklan itu kerana ia menimbulkan kemarahan banyak pihak di Indonesia yang menganggapnya suatu bentuk pelecehan (penghinaan) terhadap tenaga kerja negara itu dan mereka mendesak kerajaan menyiasat segera.

Sementara itu, Maznah yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, jumlah kemalangan di tempat kerja meningkat sebanyak 1.98 peratus kepada 40,834 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kemalangan semasa pergi dan balik dari tempat kerja mencatat peningkatan sebanyak 5.6 peratus untuk tempoh sama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sekaligus menjadikannya penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah kes kemalangan di tempat kerja itu.

"Kempen kesedaran diadakan secara berterusan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan lain-lain pihak berkepentingan.

Dianjurkan oleh JKKP, persidangan dua hari dengan kira-kira 500 peserta itu adalah bagi memberi maklumat terkini mengenai keselamatan pekerjaan serta laluan pekerjaan kepada rakyat Malaysia. - BERNAMA

Cetak Emel