doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Perbanyakkan kempen keselamatan pekerja
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Perbanyakkan kempen keselamatan pekerja

Perbanyakkan kempen keselamatan pekerja

Utusan Online, 6 Oktober 2012

MARAN 5 Okt. - Majikan di negeri ini diminta memperbanyakkan kempen keselamatan pekerja sama ada di tempat kerja atau semasa dalam perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Rosmanita Mohamed berkata, majikan harus memperbetulkan persepsi yang menganggap keselamatan kakitangan ketika pergi dan pulang kerja bukan tanggungjawab mereka.

Katanya, anggapan seperti itu tidak tepat kerana pekerja yang ditimpa kemalangan juga boleh menyebabkan majikan menanggung kerugian kerana kehilangan modal insan yang cekap dan terlatih.

"Sebenarnya kemalangan di tempat kerja telah menurun setiap tahun apabila majikan menjalankan kempen keselamatan yang lebih kerap seperti yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia.

"Namun, kemalangan semasa pergi dan balik dari tempat kerja terus meningkat setiap tahun dan tahun lalu sahaja statistik kemalangan mencatatkan sebanyak 24,247 kes berbanding 22,036 kes pada 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Pencegahan Kemalangan Di Tempat Kerja di kilang sawit Felcra Maran, dekat sini baru-baru ini.

Katanya, pekerja yang menunggang motosikal merupakan golongan paling tinggi menerima pampasan Perkeso kerana paling ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tambahnya, kemalangan seperti itu menyebabkan majikan menanggung kerugian apabila perlu mencari pekerja baru dan mengambil masa melatih bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan.

Rosmanita turut menasihatkan para pekerja supaya lebih berhati-hati dan menunggang secara berhemah bagi mengelak mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Cetak Emel