Pelaksanaan Koda Amalan Pencegahan Dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol Dan Bahan Di Tempat Kerja
Koda Amalan ini bertujuan membantu majikan dan pekerja bagi memenuhi tanggungjawab di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 untuk menangani masalah dadah, alkohol dan bahan di tempat kerja. Di bawah Seksyen 15 AKKP, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya. Seksyen 24(1) AKKP pula menjelaskan bahawa pekerja bertanggungjawab untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakannya di tempat kerja. Untuk itu, Bahagian Kesihatan Pekerjaan telah dipertanggungjawab bagi melaksanakan pemantauan pematuhan Koda Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan Di Tempat Kerja di peringkat negeri. Majikan atau tempat kerja dipantau dipandu pada beberapa aspek, seperti mengadakan dasar, pembentukan Jawatankuasa Pencegahan dan pembasmian penyalahgunaan dadah, alkohol dan bahan di tempat kerja dan latihan pekerja dan pegawai-pegawai yang bertanggung jawab.
Hasil dari pemantauan pematuhan terhadap koda amalan ini ke atas 11 majikan seluruh negara, kesemua majikan telah melaksanakan Kod Amalan Pencegahan Dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah,Alkohol dan Bahan Di Tempat Kerja. Ini disebabkan kesedaran majikan dalam membentuk dan melaksanakan polisi dan program pencegahan penyalahgunaan dadah, alcohol dan bahan akan membantu mengurangkan kemalangan, ketidakhadiran, kadar berhenti kerja yang tinggi dan penglibatan dalam jenayah di kalangan pekerja-pekerjanya. Ia juga akan membantu majikan menambahbaik kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan seterusnya meningkatkan produktiviti keseluruhannya.