doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Ops bersepadu 10 agensi gempur tapak binaan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Ops bersepadu 10 agensi gempur tapak binaan

Ops bersepadu 10 agensi gempur tapak binaan

Utusan Online, 27 Februari 2019

 

 

KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Operasi bersepadu besar-besaran melibatkan 10 agensi penguatkuasa di tapak binaan sekitar bandaraya ini hari ini berakhir dengan dua sub kontraktor dikenakan kompaun manakala 11 pendatang haram tanpa izin (PATI) ditahan.

Dua sub kontraktor itu masing-masing dikompaun tidak melebihi RM25,000 kerana gagal mengisytiharkan projek pembinaan yang dijalankan.

Manakala 11 PATI yang terdiri daripada lapan warganegara Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang rakyat Indonesia ditahan di bawah kesalahan Imigresen.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 10 pagi hingga lebih pukul 1 petang dilancarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu dengan kerjasama sembilan agensi.

Pengarah CIDB Terengganu, Jasmi Mohd. Salleh berkata, sembilan agensi itu ialah Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Lain-lain agensi yang turut serta, jelasnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Dalam operasi yang disertai 71 anggota termasuk pegawai penguatkuasa ini, seramai 57 pekerja, satu syarikat kontraktor utama dan dua syarikat sub kontraktor telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu, dua syarikat sub kontraktor dikenakan kompaun kerana gagal isytihar projek pembinaan manakala 11 PATI berusia 28 hingga 43 tahun ditahan di bawah kesalahan Imigresen," katanya kepada pemberita di tapak binaan projek mega di Kampung Tanjung di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau menarik perhatian, sepanjang tahun lalu, sebanyak 149 kertas siasatan dibuka melibatkan denda berjumlah RM80,000.

Jelasnya, denda itu dikenakan ke atas tiga kontraktor tidak berdaftar selain pekerja tidak memiliki Kad Personel Binaan dan juga pekerja mahir yang tidak diakreditasi. - UTUSAN ONLINE

 

Cetak Emel